Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman
Tabiin bernama Yunus bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia
akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan
di kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai
yang diamanahkan tuannya tadi.
Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli
harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang
sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa
diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan
Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa
barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali
barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu,
"Berapakah harga barang ini kamu beli?"
Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham."
"Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham
sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada
saudara." Kata saudagar Yunus lagi.
"Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa
senang dan beruntung dengan harga yang empat ratus dirham itu, sebab di
kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham."
Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi
itu pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba
dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah
saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut
kepada Allah atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?"
Marah saudagar Yunus lagi.
"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan
harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia
dipihak yang benar.
Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas
belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti
memperlakukan terhadap diri kita sendiri."
Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi
peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan
peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang
halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada
penipuan dalam perniagaan.
Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda,
"Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan
memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak
seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga."
(Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)
Wallohu A’lam bissowab…..
Tidak ada komentar:
Posting Komentar